Friday, 31 August 2012

Bendera 'Sang Saka Malaya' Hina Sabah Dan Sarawak


Pada usia 55 tahun kemerdekaan ini, golongan pembangkang mula mencetus porak peranda pada ladang patriotisme negara dengan menjulang bendera yang didakwa sebagai bendera 'Republik Malaysia' yang mereka namakan Sang Saka Malaya. 

Jelas sekali, Malaya itu adalah Semenanjung dan nampaknya agenda mereka paling jelas ialah untuk mengeluarkan Kuching dan Kota Kinabalu dari pentadbiran Putrajaya.

Amat kelakar apabila mereka melaungkan Republik Malaysia dan pada masa yang sama mengekalkan warna kuning pada bulan dan bintang yang melambangkan kedaulatan raja-raja. Nampak benor tak habis belajar. Sungguh, kecetekan pemikiran dan ketandusan ilmu setiap mereka akan terpamer lebih banyak lagi dari masa ke semasa. 

Tahukah kita peristiwa pembunuhan 5 Sultan di Sumatera pada 3 Mac 1946 oleh Sukarno melalui syaitan-syaitan komunis Indonesia telah membawa kepada penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di istana Sultan Johor? Tahukah mereka bahawa andai Sukarno bersikap toleransi terhadap institusi raja, kita mungkin hari ini berada dalam sebuah negara besar bersama Indonesia dan Singapura? Lihatlah bendera UMNO yang jelas menampalkan lambang yang menggambarkan kedaulatan raja-raja di atas lembaran bendera majapahit yang kini menjadi bendera Indonesia.

Bendera Indonesia bernama Sang Saka Merah Putih dan bendera UMNO bernama Sang Saka Bangsa.

Ada persamaan jelas antara bendera Indonesia, bendera UMNO, bendera Parti Pesaka Bumiputra Sarawak dan bendera Singapura kerana merah putih adalah lambang perjuangan masyarakat Nusantara sekian lama sebelum di ciplak Empayar Majapahit.

Atas sebab itulah Jalur Gemilang dicipta berselangan merah putih dan kebetulan, amalan persekutuan yang hampir sama dengan Amerika Syarikat, membuatkan selangan merah putih itu memberi makna sebuah negara Nusantara yang memakai sistem pentadbiran negeri-negeri ala Amerika Syarikat dan bukannya Jalur Gemilang itu adalah tiruan Amerika Syarikat bulat-bulat.

Ilham bendera Sang Saka Malaya itu tidaklah merupakan satu jenayah, tetapi dengan mengibarkannya atas nama Republik Malaysia pada malam merdeka adalah pengkhianatan kepada negara kerana memberi peluang kepada media asing mentafsir mengikut kaca mata mereka.

Menggerakkan agenda republik dengan nama Sang Saka Malaya di negara tunggal dunia yang mengamalkan monarki bergilir juga merupakan satu pengkhianatan besar ke atas negara dan pengabaian besar ke atas masyarakat Sabah dan Sarawak yang bersama-sama memakmurkan Malaysia sehingga mereka mampu untuk hidup senang lenang dan hari ini, kufur nikmat.

Pada saat negara lain memperkukuhkan patriotisme untuk mengekalkan kedaulatan wilayahnya, sebahagian rakyat negara ini melingkup patriotismenya dan mengimpikan pengecilan wilayah negara.


No comments:

Post a Comment